KRONOLOGI LENGKAP KISAH PEMBUNUH BERSIRI RYAN JOMBANG (VERY IDHAM HENYANSYAH)

Very Idham Henyansyah (Ryan) ketika di Penjara Cibanong



LATAR BELAKANG RYAN JOMBANG

Very Idham Henyansyah atau dikenali sebagai Ryan Jombang merupakan seorang warga Indonesia yang lahir di Jombang pada 1 Februari 1978. Ryan merupakan seorang pembunuh bersiri di Jakarta dan Jombang yang juga dikenali sebagai The Smiling Serial Killer kerana mempunyai wajah yang kacak dan sentiasa tersenyum.

Kes Ryan mula terbongkar selepas penemuan satu badan yang telah dikerat di Jakarta. Selepas siasatan lanjut, ternyata Ryan telah melakukan beberapa pembunuhan lain dan dia menguburkan mangsa-mangsanya di halaman belakang rumahnya di Jombang. 

Membesar di bandar yang kecil, Ryan sentiasa ingin hidup di bandar besar seperti Jakarta. Ryan merupakan seorang anak yang pendiam dan tidak suka bergaul dengan adik-beradik yang lebih tua serta tidak mempunyai hubungan yang baik dengan kedua ibu bapanya. Dia juga kerap bersendirian.

Semasa dia berumur 10 tahun, Ryan sudah mula menunjukkan tanda-tanda tekanan mental dan menjadi bertambah ganas.



KES PEMBUNUHAN BERSIRI RYAN JOMBANG

12 Julai 2008:
Penduduk tempatan di bandar kecil iaitu bandar Ragunan di Jakarta Selatan, Indonesia telah menemui beberapa beg yang kelihatan mencurigakan berhampiran Zoo Ragunan. Penduduk tempatan telah menemui kepala, badan dan beberapa bahagian lain tubuh manusia yang telah dikerat di dalam dua beg berkenaan. Penduduk tempatan yang cemas telah memanggil pihak polis. Setibanya pihak polis di tempat kejadian, kira-kira pukul 11 malam waktu Indonesia, polis telah mengepung tempat kejadian dan menghantar beg-beg tersebut untuk tujuan bedah siasat di Hospital Pusat, Jakarta.

Keputusan ujian forensik mengesahkan bahawa bahagian badan tersebut milik seorang ahli perniagaan berumur 40 tahun bernama Heri Santoso. 


15 Julai 2008:
Dalam masa tiga hari, polis mengaitkan pembunuhan itu dengan seorang lelaki bernama Ryan yang menetap di sebuah pangsapuri di Margonda Residence yang terletak di kawasan kelas pertengahan Depok di Jakarta Selatan. Menurut seorang wartawan Indonesia, Indah Setiawati, salah seorang polis memberitahu para wartawan bahawa selepas identiti Heri didedahkan, dia telah pergi ke rumah Heri dan menemu bual isterinya. Polis tersebut telah menemui satu nota di rumah Heri yang mengaitkan pembunuhan itu dengan Ryan. Penemuan nota itu disokong dengan penemuan kenderaan Heri Santoso yang berada di kompleks pangsapuri Ryan. Tanpa Ryan sedari bahawa pihak polis sedang menjejakinya, Ryan menggunakan kad kredit Heri Santoso untuk membeli-belah dan telah mencuri lebih kurang 500 dolar Amerika daripada akaun Heri.

Ryan atau Very Idham Heryansyah yang berusia 30 tahun ketika itu ditangkap dan ditahan polis bersama dengan kekasihnya (lelaki), Noval Andreas.

Menurut wartawan Indah Setiawati lagi, apabila pihak polis membawa Ryan ke depan wartawan dan membenarkan para wartawan menyoal, seorang wartawan senior bertanya sama ada adakah ini sahaja pembunuhan yang dilakukan oleh Ryan, pihak polis berkata mereka akan menyiasat lagi dengan lebih mendalam.

Pada mulanya ketika Ryan ditangkap, dia mengaku membunuh Heri Santoso. Kemudian, pihak polis meneruskan penyiasatan terhadapnya. Sepanjang disoal siasat, kata salah seorang penyiasat kes ini, Ryan nampak tenang dan gembira dan sikapnya mencurigakan pihak polis. Hal ini kerana pada kebiasaannya jika seseorang baru melakukan pembunuhan, dia akan nampak sangat resah, lagi-lagi apabila pembunuhan yang dilakukan dengan mengerat badan mangsa kepada beberapa bahagian, kecuali dia telah biasa melakukan beberapa pembunuhan lain.

Kecurigaan itu bertambah jelas apabila beberapa orang ahli keluarga membuat laporan polis selepas berita pembunuhan Heri Santoso tersebar. Rata-rata orang yang dilaporkan hilang mempunyai hubungan dengan Ryan.


19 Julai 2008:
Akhirnya, empat hari selepas ditahan, Ryan yang berada di dalam tahanan polis membuat beberapa pengakuan yang mengejutkan. Ryan mengaku telah membunuh beberapa orang di Jombang. Ketika penyiasatan ini semakin hangat dijalankan, kes ini bertukar menjadi kisah mengerikan pembunuh bersiri yang berlaku di dua bandar berlainan. Selepas pengakuan Ryan, salah seorang wartawan bertanya kepada Ryan adakah Ryan menyesal dengan perbuatan yang dilakukannya, kemudian Ryan ketika itu mengangguk kepalanya sambil menutup separuh wajahnya menggunakan kain.


20 Julai 2008:
Ryan dibawa ke rumah keluarganya di Jombang, Jawa Timur, di mana tempat dia tinggal dengan ibu bapanya dahulu dengan tujuan untuk mencari bukti-bukti kes pembunuhannya sebelum ini. Di dalam rumah ibu bapa Ryan, polis menemui beberapa objek di dalam beg plastik. Barang itu dipercayai milik mangsa-mangsa Ryan. Polis menemui tukul yang mempunyai kesan darah dan serpihan tulang di dalam bilik tidur Ryan. Mereka mula menggali di laman luar rumahnya dan menemui empat mayat yang tertanam di belakang rumah. Berita ini terus ke muka depan akhbar dan menjadi tajuk utama hampir setiap akhbar di Indonesia.  

Mayat-mayat tersebut dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan untuk dikenal pasti. Penggalian di rumah ibu bapa Ryan ditingkatkan dan mereka menemui enam mayat lagi di laman luar rumahnya. 


Ramai orang menyangka bahawa lebih banyak mayat akan ditemui, namun penyiasatan polis memutuskan hanya terdapat 10 mayat di belakang rumahnya, tambah dengan Heri Santoso yang dibunuh di Depok menjadikan jumlah mangsa yang dibunuh seramai 11 orang. Kesemua mangsa dibunuh dari tahun 2006 sehingga 2008.

Dalam perbicaraan selama empat bulan yang mengejutkan negara, Very Idham Heryansyah atau lebih dikenali sebagai Ryan telah dituduh membunuh Heri Santoso, 40 tahun dan disabit dengan 10 yang lain dan dijatuhkan hukuman mati.



PERKEMBANGAN RYAN SELEPAS DITAHAN DI PENJARA


Very Idham Henyansyah (Ryan)


Sejak ditahan di Penjara Cibanong, Ryan telah mencapai status selebriti dengan autobiografinya yang menimbulkan kekecohan kerana pendedahan kisah hidupnya.


"Ini adalah tentang kekecewaan dalam hidup saya. Saya penat dengan hidup saya. Saya penat dengan masyarakat yang penuh dengan peraturan yang ketat. Saya mahu menjadi yang terbaik dalam hidup saya kerana selama ini... selama ini saya hidup dengan aturan orang lain dan itu merosakkan diri saya...", kata Ryan.


Semasa di dalam penjara Ryan menerima tawaran untuk merakamkan album, kerana menyanyi adalah minatnya sejak dari kecil dan dia menganggapnya itu satu keajaiban yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Dengan rakaman album yang belum diterbitkan lagi yang berjudul '"Persembahan Terakhir", Ryan menjadi seorang daripada penjenayah sensasi di Indonesia, Penyanyi Pembunuh Bersiri!



SENARAI MANGSA BUNUH VERY IDHAM HENYANSYAH




Ditemui berhampiran Zoo Ragunan pada 12 Julai 2008:

1. Heri Santoso (40 tahun)


Ditemui dalam penggalian pertama di halaman belakang rumah di Jombang pada 21 Julai 2008:

1. Vincentius Yudhy Priyono @ Vincent (31 tahun)

2. Ariel Somba Sitanggang (34 tahun)

3. Grady Gland Adam Tumbuan (25 tahun)

4. Guruh Setyo Pramono @ Guntur (27 tahun)


Ditemui dalam penggalian kedua di halaman belakang rumah di Jombang pada 28 Julai 2008:

1. Agustinus Fitri Setiawan @ Wawan (28 tahun)

2. Nanik Hidayati (31 tahun)

3. Sylvia Ramadani Putri (3 tahun), anak kepada Nanik Hidayati

4. Muhamad Akhsoni @ Soni (29 tahun)

5. Zainal Abidin @ Zaki (21 tahun)

6. Muhammad Asrori @ Aldo



TEMU BUAL EKSLUSIF BERSAMA VERY IDHAM HENYANSYAH DI PENJARA CIBANONG JAKARTA SELATAN

Dalam satu temu bual eksklusif, Ryan bercakap di depan kamera dari Penjara Cibanong, Indonesia di mana tempat dia sedang menunggu hukuman mati. Ryan berkata kepada media bahawa dia sedang sakit, tetapi kerana dia sudah berjanji untuk ditemu bual maka dia terpaksa memenuhinya. Kemudian, wartawan bertanya kepada Ryan apakah penyakit yang dihidapinya, Ryan menjawab dia sudah lima bulan menghidap penyakit Tifus. Ryan juga berkata badannya semakin kurus setelah disahkan menghidap penyakit itu.

Walapun tingkah lakunya menawan dan rupanya kacak, namun pembunuhan yang dilakukan oleh Ryan dianggap sungguh ngeri sehingga dia digelar “Pemotong Daging Jombang” oleh warga Indonesia.

Kata Ryan, sejak dia kecil sehingga meningkat dewasa, segala kekecewaan dan rasa kecil hati yang dia rasai terhadap keluarga dan saudara-maranya semakin bertambah dan akhirnya membentuk personalitinya. Katanya lagi walaupun dari segi fizikal dia nampak lembut dan baik namun di dalam dia mungkin lebih keras daripada apa yang orang ketahui.

Kemudian, Ryan menceritakan kepada media keadaan yang menjadikannya seorang pembunuh bersiri terkenal di Indonesia. Kata Ryan, dia tak mahu dipaksa dan diperlekehkan oleh orang lain. Dia mahu membela dirinya dengan menggunakan apa cara sekalipun. Ryan turut berkata seboleh-bolehnya dia tak mahu melakukan pembunuhan lagi. Namun sekiranya dia perlu lakukannya untuk mempertahankan dirinya, dia sanggup membunuh lagi.

Ryan berkata dia akan sentiasa berjuang untuk haknya. Dia juga tidak suka bila perkara yang berkaitan dengan dirinya dipermainkan.

Semasa kecil, Ryan berkata dia tidak bahagia. Dia berasa kecewa dengan ibu bapanya dan marah dengan apa yang mereka lakukan. Jadi semasa dia kecil, dia jarang rasa gembira. Dia berdiam diri dan suka bersendirian di dalam biliknya.

Ryan mendakwa semasa dia berumur 5 tahun, dia masih ingat bahawa kedua ibu bapanya mempunyai kekasih. Dia juga berkata dia masih boleh menggambarkan dengan jelas apa yang mereka lakukan bersama kekasih mereka. Dia turut cuba untuk melupakan perkara itu tetapi tidak boleh.

Kata Ryan, setelah kejadian itu, dia mula melawan. Dia suka membaling benda dan merosakkannya. Ia adalah tindak balas kepada apa yang dia saksikan, namun dia tidak boleh memberitahu sesiapa tentang perkara itu kerana dia tak ada saudara-mara rapat untuk mengadu, jadi semuanya dia simpan di dalam hati.



TEMU BUAL EKSKLUSIF BERSAMA BAPA VERY IDHAM HERYANSYAH

Antara orang yang nampak karakter sebenar Ryan adalah bapanya sendiri. Di dalam satu temubual eksklusif, katanya beliau masih teringatkan angin Ryan yang asyik turun dan naik ketika membesar.

Kata bapa Ryan yang mesra disapa Ahmad, emosi Ryan memang susah hendak dikawal. Sekiranya anginnya baik, dia boleh menjadi seorang yang sungguh baik, namun jika dia terasa dengan kata-kata yang tak menyenangkan dari orang, dia akan menjadi marah yang amat sangat. Kata bapanya lagi, Ryan tidak boleh mengawal antara kesabaran dan kekejaman. Malah, Ryan turut tidak boleh mengawal dirinya sendiri.

Bapa Ryan berkata dia cuba menjadi ayah yang baik untuk Ryan. Tetapi selepas sekolah menengah, sikap Ryan sukar untuk dikawal bahkan dia sering menyalahkan ibu bapanya dalam semua perkara. Bapanya berkata, beliau dan Ryan tidak rapat dan tidak banyak bercakap seperti ibu bapa lain dengan anak mereka. Bapanya hanya bercakap dengannya sekiranya perkara itu penting.



KESIMPULAN KES

Ryan dijatuhi hukuman mati oleh Pengadilan Negeri Depok pada 6 April 2009. Atas sebab itu Ryan mengadakan perundingan, namun Ryan tetap dijatuhi dihukum mati. Apabila rundingan Ryan ditolak mahkamah, Ryan mengadakan permohonan peninjauan kembali ke Mahkamah Agung, namun Mahkamah Agung tetap menjatuhkan hukuman mati terhadap Ryan.

Manakala bekas kekasih sejenis Ryan, Noval Andreas yang dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan oleh panel hakim di Pengadilan Negeri Depok Novel kerana bersalah menikmati hasil kejahatan jenayah Ryan terhadap Heri Santoso telah menjalankan hukuman penjara selama 5 bulan dan telah dibebaskan. Setelah dibebaskan, Noval berkahwin dengan seorang wanita dan telah memulakan hidup baru serta memutuskan hubungannya dengan Ryan.

Namun, sehingga hari saya menulis artikel ini, Ryan masih tidak dijatuhkan hukuman mati. Kes ini masih di dalam proses mahkamah. Hal ini kerana bapanya Ahmad mendakwa bahawa Ryan mengalami masalah mental dari kecil dan tidak menyedari perbuatannya.

Perkembangan terakhir yang diketahui tentang Ryan adalah dia meminta pengurangan hukuman pengampunan kepada Presiden Indonesia, Jokowi pada 7 Oktober 2016. Dalam fail permohonannya, beliau memasukkan surat tulisan tangan kepada Presiden yang menerangkan alasan untuk meminta pengampunan.

Comments

Popular Posts